Asal Usul Nama Pulau Serai
Oleh : Haji Abdul Wahab Yunus dan Wan Mohd Rosli Wan Ngah
Kampung Pulau Serai telah dibuka oleh seorang tokoh agama bernama Haji Yusof. Beliau anak Lebai Isa iaitu bekas hakim dan tokoh pengembang Islam di Dungun yang membuka Kampung Seberang Pintasan pada 1881. Setelah Lebai Isa meninggal dunia pada 1883 dan disemadikan di Kubur Seberang Pintasan, Haji Yusof bercita-cita untuk membuka sebuah perkampungan baru. Akhirnya beliau memutuskan sekitar Pulau Serai sesuai untuk dijadikan sebuah perkampungan. Nama Pulau Serai diambil berikutan tempat tersebut seakan pulau kerana dikelilingi beberapa batang sungai dan anak sungai serta banyak ditumbuhi serai.
Seterusnya Haji Yusof pergi ke Kuala Terengganu dan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III. Baginda telah memberi perkenan kepada Haji Yusof untuk membuka perkampungan ini. Beliau mendirikan Kampung Pulau Serai dengan mendirikan madrasah (pusat pengajian agama) terlebih dahulu.
Pada tahun 1888 beliau berjaya mendirikan sebuah masjid kayu di sini. Lokasi masjid yang dibina secara bergotong royong dengan penduduk kampung itu ialah di tapak Masjid Lama Kampung Pulau Serai sekarang. Pada masa yang sama beliau turut membina pondok yang berfungsi sebagai pusat pengajian kepada pelajar lelaki dan perempuan yang datang dari berbagai tempat.
Haji Yusof berusaha mencorakkan Pulau Serai sebagai perkampungan Islam dan pengajaran agama menjadi teras aktiviti utamanya. Beliau tidak membenarkan orang lelaki kampung ini menggunting rambut sebaliknya disuruh bercukur. Lelaki tidak dibenarkan memakai topi, tali leher, seluar pendek dan emas kerana itu merupakan kebudayaan Barat.
Pernah berlaku seorang yang bernama Che Daud yang bertugas dengan Kerajaan British pada masa itu pergi ke Pulau Serai dengan memakai topi dan seluar pendek yang biasa dipakai oleh pegawai kerajaan pada masa itu. Ini menyebabkan beliau dimarahi oleh penduduk kampung dan menghalaunya hingga ke Sungai Dungun.
Pada masa itu bila disebut Pulau Serai, terbayang di kalangan masyarakat daerah ini sebagai perkampungan yang didiami oleh orang-orang alim. Setelah Haji Yusof meninggal dunia pada 1913 dan disemadikan di Kubur Pulau Serai, Pulau Serai terus berkembang makmur apabila jalan raya yang menghubungkan Daerah Besut hingga Kemaman dibina merentasi kampung ini dan jumlah bilangan penduduk semakin bertambah.
Pengkalan feri turut dibina pada tahun 1930-an untuk kemudahan penduduk dan kenderaan menyeberangi Sungai Dungun dari Pulau Serai ke Kampung Nibong atau Kuala Dungun sebelum dibina jambatan untuk membolehkan berbagai kenderaan darat melaluinya sekitar tahun 1965.

